Thursday 17 September 2015

Kevin Morais Mati Dibunuh

Morais


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Dibunuh semasa dalam perjalanan ke utara dipercayai di kawasan berhampiran Sungai Buloh.

Mayatnya kemudian disumbat ke dalam guni serta dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurah simen dan ditenggelamkan ke dalam paya di Jalan Subang 3, Su­bang Jaya dekat sini.

Itulah kekejaman yang dilakukan sekumpulan individu terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, 55, selepas melarikannya di Jalan Dutamas, Damansara di sini semasa mangsa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.
Difahamkan, sebelum dilarikan, kereta mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh kumpulan suspek terbabit di kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat komersial di tempat kejadian.

Mangsa yang keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan kemudiannya ditolak masuk ke dalam keretanya semula oleh kumpulan individu terbabit ke tempat duduk penum­pang belakang dan kenderaan itu dipandu menuju ke arah utara.
Ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul dipercayai besi panjang yang digunakan untuk membuka nat tayar kereta di kawasan berhampiran Sungai Buloh.

Mayat mangsa dipercayai dibawa ke Subang Jaya sementara kere­tanya dipandu anggota kumpulan yang melarikannya ke arah Hutan Melintang dan ditemukan dibakar di sana.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mayat mendiang Kevin ditemukan hasil pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak semalam.
Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.

“Hasil pengakuan itu, sekumpulan pegawai dan anggota STAFOC kemudiannya membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian pada pukul 6 pagi ini di mana mayat Kevin dibuang.

“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan bomba bagi membantu membawa naik tong dram terbabit untuk dipecahkan pada pukul 8 pagi sebelum menemukan satu mayat yang dipercayai mendiang Kevin,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohmad memberitahu, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pihaknya berjaya merampas sebuah kende­raan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta mangsa ketika hari Kevin dilarikan.

Tambahnya, turut dirampas ia­lah kereta Honda Accord dan sejumlah wang bernilai RM17,100 di Pulau Pinang.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta Proton Persona dan satu resit pembelian batu, simen dan pasir yang digunakan suspek serta sejumlah lagi wang bernilai RM15,000 di Selangor.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Polis sebelum ini mengesahkan kehilangan Kevin pada 4 September lalu sebagai kes culik berdasarkan penelitian kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sepanjang jalan yang dilalui mangsa semasa hari kejadian dan sebahagiannya adalah milik persendirian bagi mengesan kedudukan mangsa.

Kevin dilaporkan hilang pada hari kejadian dan dilihat kali terakhir meninggalkan pangsapuri­nya di Menara Duta untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Susulan itu polis menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menyiasat kes tersebut.
Polis juga mengesahkan kereta terbakar yang ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 5 September lalu adalah mirip kenderaan yang digunakan Kevin pada hari dia diculik.

Credit : Utusan Malaysia

Biodata Kevin Morais



Umur: 55 tahun
Adik-beradik: 4 (sulung)
Status: Bujang
Pendidikan:
l Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh
l Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Universiti London
Kerjaya:
1980
l Diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya
l Menyertai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman
l Dilantik sebagai majistret
1985
l Menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC)
2004
Dipinjamkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pendakwa Raya
2014
1 Julai
Kembali bertugas di AGC sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan

Sumber : Utusan Malaysia

BUNUH MORAIS : Seorang Lagi Suspek Ditahan

Morais


SHAH ALAM - Seorang lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, penganggur berusia 22 tahun itu di tangkap di Kulim, Kedah kira-kira jam lima petang.

“Suspek direman tujuh hari bermula semalam. Dengan tangkapan terbaru ini menjadikan lima orang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit,” katanya semalam.

Kelmarin, empat suspek lelaki berusia 22 tahun sehingga 52 tahun, dua wanita dan seorang kanak-kanak ditahan selepas 13 hari siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kedua-dua wanita dan kanak-kanak lelaki berkenaan dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut dan telah dibebaskan.

Dalam perkembangan itu, polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Duta Mas, Kuala Lumpur jam 7.51 pagi pada 4 September lalu.

Kemalangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penculikan mendiang Kevin Morais.

“Kita minta pemandu atau penumpang Toyota Estima putih yang berhenti melihat kejadian (berdasarkan rakaman video) tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999,” katanya.

Credit : Sinar Harian